Hujan rintik-rintik di luar sana pada malam itu. Kemudian kedengaran besi karat pintu pagar berbunyi, ditolak Pak Din yang baru pulang dari kilang. Di hembus nafas, termengah-mengah Pak Din.
Di dalam rumah, Pak Din ke dapur menuju peti ais. Menghilangkan dahaga. Dicubit sedikit coklat Cadbury. Tak disangkanya hari itu akan menjadi antara hari yang akan diingatinya seumur hidup. Begini kisahnya;-
Pada sebelah siangnya, Pak Din menyambung ‘shift’ di kilang. Seperti hari-hari biasa suasananya pagi itu. Tenang dan redup. Hinggalah waktu petang itu, seorang pekerja kilang terjerit-jerit memanggil-manggil ‘guard’ berulang-ulang kali dan berlari-lari ke arahnya. Pak Din terkejut bila diberitahu satu kemalangan telah terjadi. Pekerja tersebut kemudian ditenangkan sambil Pak Din menghubungi pengurus kilang.
Pak Din kemudian memeberhentikan aliran elektrik di suis utama setelah mendapat kebenaran pengurus bertugas hari itu. Suasana kilang yang biasanya bising dengan bunyi mesin jentera beroperasi bertukar menjadi senyap sunyi. Segala aktiviti diberhentikan.Pekerja-pekerja diarahkan pulang segera. Kemudian ditemani 2 ‘supervisor’ Pak Din bergegas ke tempat kemalangan. Pengurus kilang dan beberapa pentadbir menunggu di pejabat kerana tak berani turun ke kawasan mesin.
Mesin yang menjadi punca kemalangan itu adalah mesin jenis ‘roller’ yang akan menghancur debu kan sisa-sisa bahan mentah dari bahagian pemprosesan lain. Mesin ini turut dilengkapi 20 set ‘bladers’ yang akan memotong-motong sisa bahan yang telah dimampatkan. Sisa terakhir mesin itu seperti hampas tebu, tapi lebih halus. Disitulah kemalangan terjadi pabila seorang pekerja berbangsa India hancur lunyai dimamah mesin.
Lopak darah dan percikan merah darah memenuhi sekitaran lantai mesin dan dinding kilang. Isi perut bertaburan bercampur darah segar merah pekat. Dapat dilihat butir nasi dalam usus. Tulang mangsa bersepahan, pecah-pecah seperti tulang ayam. Organ-organ dalaman seperti hati, jantung, peparu nampak seperti daging lembu yang disiat-siat. Lalat mula memenuhi kawasan kemalangan.
Pak Din terasa mahu pitam melihat keadaan kemalangan tersebut. Seorang supervisor termuntah disitu. Seorang lagi tergeleng-geleng kepala sebelum menghubungi pengurus.
Pak Din tahu dalam keadaan itu, tugas mengutip cebisan mayat pekerja itu terletak dibahunya. Pak Din juga terasa sebak sedikit kerana mengenali mangsa. Terbayang-bayang wajah mangsa yang selalu tersenyum bila berjumpa.
Pak Din mendapatkan beberapa baldi dan sarung tangan. 2 supervisor yang ada kemudian membuat keputusan membuat laporan polis dan menghubungi ambulans. Yang jahatnya, Pak Din ditinggalkan seorang diri dikawasan mesin tersebut. Apakan daya, Pak Din tak boleh membantah.
3 baldi hampir penuh berisi cebisan mayat mangsa telah dikumpul Pak Din. Sejak kedua-dua supervisor pergi dari situ, telah hampir 1 jam lebih Pak Din keseorangan disitu. Dilihat jam tangannya, 6.59 petang.
Secara tiba-tiba meremang bulu tengkuknya. Diperhatikan kawasan sekeliling. Tiada sesiapa. Pak Din tak sedap hati. Lalu menuju pintu keluar disebelah belakang. Lama juga Pak Din cuba menenangkan hatinya. Keadaan bertambah gelap, ditambah pula Pak Din sendiri yang mematikan suis utama, maka suasana didalam kawasan mesin menjadi suram. Bau hanyir darah semakin kuat. Lalat yang pada mulanya begitu banyak hilang semuanya.
Dalam keadaan itu, Pak Din terdengar bunyi sesuatu. Dalam kawasan mesin. Pak Din tak rasa ada sesiapa yang berani datang ke kawasan itu dalam keadaan yang suram dan berbau hanyir itu, jika berseorangan. Hatinya berdegup kencang.
Bunyi yang didengari seperti bunyi tapak kaki berjalan diatas air. Plukkk, plukkk begitulah lebih kurang ritmanya.
‘Siapa tu?’ jerit Pak Din memberanikan diri.
Pastinya tidak ada sesiapa yang menjawab. Pak Din masuk semula ke dalam. Tiada sesiapa pun. Tapi peliknya bunyi yang tadi kedengaran semula. Semakin kuat. PLUKKK PLUKKKK PLUKKK PLUKKK. Kemudian KRIKKKK KRIKKKK KRIKKK KRIIKKKK
Pak Din mengeluarkan telefon bimbitnya. Dengan menggunakan sedikit cahaya daripada hansetnya itu, Pak Din menyuluh-nyuluh. Kemudian Pak Din menyusur tepi mesin roller tersebut sambil terus menyuluh-nyuluh sekelilingnya.
Bunyi seperti datang dalam kotak mesin roller. Muat untuk 2 orang berdiri panjang dan kelebaran kotak roller tersebut. Pak Din tergerak untuk menyelak langsir getah kotak tersebut. Lalu disuluh kedalam.
Dilihat seorang perempuan hodoh bermata merah dan berambut panjang bertinggung dalam kotak roller tersebut. Sedang mengungkis sesuatu berwarna putih, iaitu tulang si mangsa kemalangan,lagak seperti menghisap sumsum ayam. Bila disuluh, perempuan hodoh tersebut merengus-rengus.
Pak Din bertakbir. Sepantas kilat perempuan hodoh terbang keluar dari kotak mesin, menembusi dinding kilang.
Allahuakbar Allahuakbar
Kedengaran azan dari surau berhampiran. Pak Din hampir kehilangan semangatnya. Kaku disitu dalam kegelapan. Beberapa minit kemudian seorang supervisor datang dengan beberapa anggota polis.
p/s-Satu baldi daripada 3 baldi berisi cebisan sisa daging dan tulang mangsa hilang bila diperiksa. Mengungkis adalah meratah isi dalam tulang dengan cara menghisap. Sekian.
BACA JUGA :
Tidak ada komentar:
Posting Komentar